Monday 10 August 2009

Pak Lah terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UM


SULTAN Azlan Shah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kemanusiaan) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-48 di sini hari ini.

Penganugerahan itu adalah bagi menghargai jasa beliau kepada negara antaranya memperkenalkan Islam Hadhari, pembangunan modal insan, memperkasa sektor pertanian dan memerangi rasuah.

Ijazah kehormat itu disampaikan oleh Sultan Perak merangkap Canselor UM, Sultan Azlan Shah.

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya berkata, pelbagai faktor antaranya globalisasi, pengaruh media global, peningkatan kesedaran mengenai hak asasi dan peranan Internet menuntut perubahan dalam kehidupan masyarakat serta corak pemerintahan dan pentadbiran negara.

Tegas beliau, cara lama iaitu 'kerah dan perintah' perlu digantikan dengan cara perundingan dan mesra rakyat kerana kehendak rakyat kepada keterbukaan dan kebertanggungjawaban makin menekan.

Jelas beliau, meskipun undang-undang untuk mengawal kehidupan masyarakat boleh dilaksanakan, pendekatan yang diambil mestilah adil dan tidak terlalu menyekat.

"Pihak-pihak yang mahukan lebih kebebasan pula perlu bertanggungjawab dan sentiasa menghormati keluhuran perlembagaan apabila bertindak.

"Undang-undang lama yang diperlukan ketika negara kita masih lemah dan sedang menghadapi ancaman dalaman dan luaran kini mungkin tidak lagi sesuai dan perlu dipinda atau diubah," katanya.

Abdullah dalam ucapannya itu turut berkongsi peristiwa dan halangan yang menimbulkan kesulitan dan gangguan kepada kelancaran program yang diaturnya sewaktu bergelar Perdana Menteri.

Katanya, antara peristiwa itu ialah kembalinya ke rahmatullah dua insan yang sangat disayangi beliau iaitu ibunya, Datuk Kailan Hassan dan isterinya Tun Endon Mahmood; krisis kewangan yang merebak menjadi krisis ekonomi global dan kenaikan mendadak harga minyak serta barang keperluan.

"Walau apa pun kesempitan dan cabaran yang muncul, saya rasa saya telah dapat membawa kemajuan dan perubahan kepada masyarakat, kepada pentadbiran yang lebih berorientasikan perkhidmatan dan kepada ekonomi yang sekarang ini mula berkembang di kawasan pertumbuhan baru.

"Mudah-mudahan langkah seterusnya yang diambil kerajaan sekarang akan membawa perubahan yang lebih besar dan menambah nilai kepada kemajuan yang telah dinikmati rakyat," katanya.


Sumber - Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment