Saturday 18 July 2009

Demokrasi perlu dilaksana secara bijaksana

SINTOK 17 Julai - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menegaskan, falsafah demokrasi perlu dilaksanakan dengan penuh bijaksana supaya tidak dijadikan alat melepaskan kebencian kepada pihak tertentu.

Baginda bertitah, pada masa ini, amalan pemimpin-pemimpin negara ini adalah tepat iaitu mengekalkan unsur-unsur gabungan pemerintahan secara tradisi dengan falsafah moden.

"Melalui kaedah demokrasi begini, satu pihak boleh meneliti perjalanan pihak lain berlandaskan prinsip semak dan imbang.

"Prinsip ini berjaya mengekalkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran negara kita selama ini," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Demokrasi) oleh UUM atas sumbangan beliau memakmurkan lagi demokrasi di negara ini sepanjang mentadbir negara ini.

Sultan Kedah selaku Canselor UUM berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Abdullah pada majlis tersebut.

Baginda bertitah, sepanjang 52 tahun kemerdekaan negara, rakyat daripada setiap golongan dan kaum telah dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

"Beta dapat melihat perubahan dan lonjakan taraf hidup rakyat di bawah pentadbiran setiap Perdana Menteri.

"Pada hemat beta, amalan demokrasi di negara ini telah dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan dan ia diteruskan oleh setiap pemimpin negara ini," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Abdullah seorang pemimpin yang mempamerkan nilai-nilai demokratik yang tinggi dan mengambil berat tentang perjalanan pemerintahan secara demokratik.

Titah Sultan Kedah, daripada pengamatan baginda, Abdullah cuba untuk mematangkan lagi falsafah demokrasi di negara ini.

"Ijazah kehormat yang dikurniakan kepada Abdullah hari ini bertepatan dengan latar diri serta kerjaya yang diceburi beliau.

"Beliau memang dikenali sebagai pemimpin politik yang berpegang teguh pada prinsip falsafah demokrasi," titah baginda.

Baginda mahu sumbangan pemimpin negara seperti Abdullah dirakam dan dibukukan untuk dijadikan rujukan supaya generasi akan datang menghargai nikmat kemakmuran serta kestabilan yang mereka kecapi.

0 comments:

Post a Comment