Monday 21 December 2009

Yusuf Al-Qaradawi gesa pertahankan perpaduan umat Islam

Datuk Seri Najib Tun Razak menerima buku Fiqh Jihad daripada penulis yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi selepas menerima kunjungan tokoh Islam itu di pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. Yusuf Al-Qaradawi, 83, merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. – Bernama

PUTRAJAYA 21 Dis – Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi berharap kefahaman mengenai agama dan perpaduan umat Islam di negara ini yang berada dalam keadaan baik, dapat dipertahankan.


Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuannya dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.


Pertemuan itu berlangsung kira-kira 20 minit. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom.


Bercakap kepada pemberita, Najib berkata, Dr. Yusuf turut menghargai peranan Malaysia dalam perpaduan ummah di rantau ini.


Sehubungan itu, Najib berkata, Dr. Yusuf berharap Malaysia dapat memainkan peranan yang sama dalam menyatukan ummah di seluruh dunia.


Najib berkata, beliau turut mempelawa Dr. Yusuf untuk mengunjungi negara ini pada tahun depan.


Pada akhir pertemuan itu, Dr. Yusuf menghadiahkan buku karangan terbaru beliau yang bertajuk Fiqh Jihad kepada Najib.


Buku itu mengenai jihad yang perlu dimainkan oleh umat Islam di seluruh dunia dalam menghadapi isu dan masalah umat Islam semasa.


Ia turut menerangkan kaedah serta cara untuk menghadapi dan mengatasi cabaran semasa tersebut untuk kepentingan umat Islam sejagat.


Jumaat lalu, Dr. Yusuf menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah yang disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah.


Turut menerima anugerah tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor. Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment