Sunday 12 April 2009

Abdullah seru umat Islam henti perbalahan


ABDULLAH Ahmad Badawi menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad (kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 11 April - Tun Abdullah Ahmad Badawi menyeru umat Islam di negara ini menghentikan perbalahan yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat sekarang.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, perbalahan di kalangan umat Islam tidak seharusnya berlaku dan ia boleh dielakkan jika masyarakat berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

"Kekurangan penghayatan terhadap al-Quran dan sunah Nabi Muhammad menyebabkan umat Islam sekarang ini berada dalam huru-hara,'' katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Amanah Al-Wariseen di Masjid Negara di sini hari ini.

Amanah Al-Wariseen merupakan sebuah pertubuhan Islam yang terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dalam bidang-bidang yang tidak diberi keutamaan oleh kerajaan.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 orang umat Islam menyaksikan tujuh ulama besar memberikan ceramah iaitu Mufti Iraq, Profesor Dr. Rafi Al-Ani; Penasihat Majlis Tertinggi Islam Australia, Dr. Ibrahim Salem; bekas Reaktor Universiti Al-Azhar, Dr. Ahmed Omar Hashem dan Presiden Lembaga Amanah Universiti Al Ahqaf, Yaman; Habib Umar Hamid Al-Gailani.

Penceramah lain ialah Pemegang Amanah Yayasan Karyawan Kuala Lumpur, Muhammad Uthman El- Muhammady; Mufti Mesir Profesor Dr. Ali Gomaa Mohamed Abdelwahab dan Penasihat Yayasan SOFA Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki.

Abdullah menegaskan, Allah berfirman dalam al-Quran bahawa semua umat Islam bersaudara tetapi malangnya pada masa ini masyarakat bermusuh sesama sendiri, enggan berkerjasama dan saling bergaduh sesama sendiri.

"Umat Islam seharusnya melaksanakan kerja kebajikan dan mengutamakan keamanan tetapi pada masa ini kita melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan malahan sering melakukan hasad dengki yang menyebabkan berlakunya huru-hara di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata, umat Islam juga diseru agar berlaku adil sesama manusia sebaliknya masyarakat berlaku zalim.

''Apabila umat Islam tidak mendalami al-Quran dan tidak melaksanakan ajaran yang telah ditetapkan maka berlakulah pelbagai masalah, peperangan, huru-hara dan perbalahan yang menjadikan masyarakat Islam tidak kuat, tidak bermuafakat dan tidak bersaudara,'' jelasnya.

Katanya, umat Islam perlu melakukan usaha yang bersungguh- sungguh bagi mendalami al-Quran dan menghayati serta mengikuti sunah Nabi Muhammad.

0 comments:

Post a Comment